Rasanya ramai tahu pasal kontroversi baju bahu terdedah Natasha Hudson beberapa hari yang lepas. Dan sudah semestinya, selebriti wanita itu mendapat kecaman ramai, lagi-lagi pula dia bertudung.

Dan nampaknya, kontroversi gaun terdedah Natasha Hudson ni semakin hangat apabila pereka busana tersebut, Rizman Ruzaini mula membuka mulut.

Untuk wanita ‘free hair’

Rizman pada awalnya terkejut apabila mengetahui pakaian rekaannya itu dipakai oleh selebriti bertudung walhal rekaan itu direka untuk wanita ‘free hair’.

“Sejujurnya, sebagai pereka baju tersebut, saya terkejut dan agak kecewa kerana si pemakainya seseorang yang berhijab.

“Sedikit sebanyak tindakan itu boleh mencalarkan imej dan reputasi jenama Rizman Ruzaini yang telah bertapak sejak 15 tahun lalu,” luahnya.

Baju lelong tiga bulan lalu

Malah, menurut laporan Gempak,  Rizman mengatakan gaun putih dengan gaya terdedah pada bahagian bahu itu telah dibeli oleh seorang individu yang identitinya tidak diketahui tiga bulan lalu.

“Baju tersebut adalah koleksi pakaian pengantin yang telah dibuat sejak tiga tahun lalu dan telah dilelong dengan potongan harga sebanyak 90 peratus,” dedah Rizman.

Kenyataan berat sebelah

Selepas sahaja Rizman Ruzaini buat kenyataan tersebut, Natasha tak berdiam diri dan membalas balik kenyataan pereka fesyen itu.

Kata Natasha, kenyataan yang dibuat oleh pereka fesyen itu seperti berbaur peribadi dan berat sebelah.

“Selepas diamati kenyataan pereka fesyen itu saya lihat ia berbaur peribadi dan berat sebelah. Mungkin kenyataan itu dibuatnya kerana tidak tahu siapa pembeli busana terbabit pada awalnya.

“Mungkin juga kenyataan itu dibuat kerana saya bukanlah artis gred A yang sering bekerjasama dengannya. Tapi dalam apa sudut sekalipun, perasaan pelanggan atau pembeli sepatutnya dihormati mereka. Baju itu dibeli dengan promosi potongan harga dan bukan ditaja mereka.

“Sekalipun pembeli dan pelanggan mengenakan tudung dan meminati sesebuah rekaan yang bertentangan dengan imejnya, adakah mereka akan menjualnya? Saya pasti mereka akan menjualnya demi keuntungan tanpa mempersoalkan hasrat yang ingin membeli,” jelas Natasha.

Pavithra pernah pakai gaun sama

Dan nampaknya kontroversi gaun putih bahu terdedah itu belum habis lagi apabila Rizman Ruzaini, menerusi laman Instagramnya, mendedahkan bahawa gaun tersebut pernah dipakai oleh personaliti masakan Youtube Pavithra ketika sesi fotografi majalah online Pepatung tahun lalu.

Malah, Pavithra dikatakan turut meminta agar bahagian bahu yang terdedah itu ditutup kerana ia membuat dia kurang selesa.

“Pavithra pun bukan selebriti gred A, tapi kami masih gembira untuk bekerjasama dengannya dan berbangga apabila seorang individu untuk memakai rekaan kami dengan cara yang elegan dan punyai kelas tersendiri,” tulisnya.

Wow siapa sangka gaun Natasha Hudson dulu pernah dipakai Pavithra tapikan, rasa macam makin tegang pula isu ni, harapnya tak adalah tercetusnya pergaduhan besar. Doa yang baik-baik je gais!