Awal bulan Ogos haritu, ada gempar isu dekat Twitter yang Shuk Sahar, pelawak dan juga penyampai radio Hot FM, berlaku curang dengan isterinya apabila ada seorang pengguna Twitter mendedahkan perkara tersebut berserta dengan beberapa bukti.

Rata-rata netizen menunggu penjelasan daripada pihak Shuk tapi dia masih berdiam diri sehinggalah baru-baru ni, dia tampil menjelaskan perkara tersebut.

Mengaku kenal, isteri tahu

Menerusi laporan mStar, Shuk mengaku bahawa dia pernah kenal dengan wanita yang dikenali sebagai Fara Salleh dan isterinya juga mengetahui tentang hal itu.

Kata pengacara program I Can See Your Voice 3 itu, dia dan isterinya telah pun berbincang untuk tidak memberi sebarang kenyataan lanjut tentang isu tersebut kerana fokus utamanya kini adalah untuk keluarga serta kerjaya.

Tambahnya lagi, dia tak tahu apa niat pengguna Twitter itu menyebarkan perkara tersebut dan apa yang berlaku sudah pun berlalu.

Shuk mengakui kenal dengan wanita yang didakwa kekasihnya dulu
Imej dari: Twitter

Berdiam diri sebab balik kampung

Pada waktu yang sama, Shuk menjelaskan dia mengambil keputusan untuk berdiam diri ketika isu hangat ini sedang diperkatakan adalah kerana dia dalam perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.

Shuk juga bersyukur kerana dia tak pernah berenggang dengan isteri walaupun isu panas tersebut sedang tular dalam kalangan netizen.

“Sepanjang waktu itu, isteri dan saya tak pernah berenggang dan Alhamdulillah, hubungan kami baik saja. Sebagai seorang lelaki, ketua keluarga dan suami…kita tak mungkin lari daripada buat kesilapan.

“Itu keluarga saya dan saya akan cuba pertahankan sampai bila-bila. Saya belajar daripada kesilapan dan akan lebih berhati-hati selepas ini,” katanya.

Harapnya tak berlaku lagilah kes macam ni dan doa yang baik-baik saja untuk keluarga Shuk.