Pentas Big Stage 2020 malam semalam telah menyaksikan dua penyingkiran bintang, Nana Sheme dan Hafiz Zainal pada konsert suku akhir.

Penyingkiran dua bintang itu telah memberi kekecewaan kepada para juri kerana telah salah percaturan.

Salah tekaan

Memetik laporan Gempak, Faizal Tahir, salah seorang juri tetap Big Stage 2020, mereka telah memilih untuk menggunakan imuniti terakhir kepada Dinie Rashid bagi menyelamatkannya daripada tersingkir kerana mahu semua lapan peserta mara ke peringkat separuh akhir.

“Firasat kami sebenarnya Nana dan Hafiz akan terselamat kerana mereka mempunyai undian online yang kuat.

“Sebab tu kami pilih selamatkan Dinie sebab kami sangka Nana dan Hafiz akan masuk ke konsert separuh akhir. Tekaan kami salah,” kata Faizal.

Persembahan kurang memuaskan

Walaubagaimanapun, kedua-dua bintang itu mendapat markah yang rendah pada malam semalam setelah memberi persembahan yang kurang memuaskan pada pendapat para juri.

Nana Sheme telah menyanyikan lagu Ngam nyanyian Sophia Liana dan tersingkir dengan 66.2 peratus.

Kata Faizal, kekuatan sebenar penyanyi itu tidak dapat ditonjolkan melalui persembahannya.

Manakala Hafiz Zainal yang membawa lagu bergenre rock, Rampas nyanyian Akim & The Majistret menerima sebanyak 68.7 peratus.

Dayang Nurfaizah, salah seorang juri tetap, memberi komen bahawa persembahan Hafiz tidak sampai kepada penonton namun memuji vokalnya yang ada penambahbaikkan.

Untuk pentas kali ini, Fadh Majid mendapat markah tertinggi sebanyak 77.7 peratus, diikuti oleh Qody Rany (76.3), Usop (74.6), Azzam Sham (74) dan Farisha Iris (71.7).

Bersama-sama dengan Dinie Rashid (64.9) yang telah diselamatkan oleh imuniti juri,  keenam-enem peserta itu akan bertanding pada peringkat separuh akhir pada Ahad minggu hadapan.

Semoga berjaya di luar sana, Nana Sheme dan Hafiz Zainal!