Dalam situasi negara kini yang menyebabkan rata-rata rakyat di negara menghadapi kesusahan, ramai artis mula menghulur bantuan untuk meringankan beban.

Termasuklah pelakon Sabarlah Duhai Hati (2021), Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.

Ramai yang sudah mengetahui tentang projek kebajikannya memberi bantuan makanan percuma kepada yang memerlukan sejak PKP 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun.

Awalnya, Puteri Sarah menggunakan wang simpanan sendiri, tapi kini projek tersebut telah berkembang sehingga dia membuka peluang kepada orang ramai untuk menolong menyediakan makanan.

Ada yang tak puas hati

Namun, siapa sangka, permintaan sedekah sekecil ini boleh mengundang kecaman segelintir netizen. Menurut pelakon drama Evolusi KL Drift: The Series itu melalui satu temu ramah dengan mStar, permintaan sedekah tersebut dipandang serong oleh beberapa netizen.

“Saya ada terima DM daripada haters yang persoalkan kenapa nak bersedekah tapi minta sedekah?

“Jawapannya mesti la! Takkan nak guna semua duit dalam akaun saya tu. Saya pun perlukan duit untuk diri sendiri.

“Saya sendiri sudah buat sebaik yang mampu, jadi sudah tentu saya perlukan orang ramai untuk membantu…saya bukan minta sedekah.

“Apabila lebih ramai membantu, kita dapat sama-sama bersedekah…tapi ada pula orang salah tafsir apa yang saya lakukan,” luahnya

Bermula daripada jangkitan

Sebelum ini dalam satu temu ramah dengan BH Online, Puteri Sarah memberitahu projek ini bermula apabila dia dikuarantin kerana mendapati dirinya positif dengan Covid-19 dan semua makanannya disedia dan dihantar oleh temannya Izdihar Rizkallah.

Saat itu dia terfikir, daripada diberi kepada dirinya yang berkemampuan, kenapa tidak diberikan kepada golongan memerlukan, lalu bermulalah misi menolong orang ketika PKP ini.

Biasalah tu, bila nak buat baik mesti akan adanya yang pertikaikan. Apa pun, semoga Puteri Sarah bertabah dan teruskan berusaha untuk projek ni!