Setelah lebih seminggu mendiamkan diri gara – gara tular video ‘salah parking’ yang membabitkan dirinya, Neeta kembali aktif di media sosial. Neeta mengambil langkah berehat dari media sosial susulan mengalami gangguan emosi daripada insiden tersebut.
Tidak terkejut
Penyanyi berusia 27 tahun, Neeta atau nama sebenarnya Neeta Manishaa Manogaran memuat naik sebuah gambar di laman Instagram miliknya memberitahu keadaan dirinya yang semakin baik.
“Pertama sekali, saya dan Kiki dalam keadaan yang baik. Kedua, kepada semua yang menelefon, memberi pesanan dan pesanan langsung (DM), saya baca kesemuannya dan sangat menghargainya.
“Ia membantu saya melalui fasa ini dan saya tidak mampu untuk mengucapkan terima kasih kepada semua,” tulisnya.
Biarpun sedih dengan apa yang berlaku, namun Neeta mengakui dia tidak terkejut malah sudah menjangka perkara ini memandangkan sudah hampir 10 tahun berada di dalam industri.
“Saya sudah berada dalam industi hampir 10 tahun dan tidak terkejut perkara ini akan berlaku. Cuma sedih juga kita bila perkara maca mini terjadi.
“Tapi saya rasa, semua orang tak kira apa saja kerjaya mereka perlu sentiasa ambil waktu berehat daripada sosial media jika keadaan kesihatan mental tidak stabil.
“Selain keluarga, saya ada kawan dan rakan seindustri yang memberi semangat. Tapi peminat saya turut memberi kata semangat dan setiasa update saya semua perkara,” kata Neeta kepad mStar.
Sudah maafkan
Baru – baru ini, individu yang memuatnaik video tersebut telah tampil membuat permohonan maaf.
Individu itu tampil memohon maaf secara terbuka kepada Neeta di laman sosial miliknya.
Penyanyi lagu Hanya Mimpi itu bagaimanapun mengakui sudah memaafkan perbuatan tersebut dan berharap individu itu tidak mengulangi kesilapan yang sama.
“Saya rasa… secara jujur dari pandangan peribadi, saya maafkan perbuatan dia, tapi tidak semestinya bermaksud saya maafkan dia.
“Saya harap orang tersebut pun belajar dan tidak akan mengulangi lagi. Mungkin di masa hadapan atau satu hari nanti saya boleh maafkan individu tersebut sepenuh hati saya,” ujarnya Neeta.
Terdahulu, tular video di laman Tiktok apabila seorang pengguna memuat naik video memaparkan Neeta membetulkan bajunya di bahagian dada semasa rakaman All Together Now Malaysia dengan meletakkan kapsyen ‘salah parking’ di video tersebut.
Neeta bersama syarikat rakamannya, NAR Records telah membuat laporan polis susulan insiden tersebut. Sejurus selepas itu, Neeta mengambil keputusan untuk berehat daripada media sosial berikutan emosinya terganggu.