Akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, ia menjejaskan langkah penyanyi baharu yang juga bekas peserta Big Stage 2020 Hafiz Zainal untuk mencari rezeki dalam bidang itu.
Buka klinik sendiri
Penyanyi yang juga doktor gigi, Dr Hafiz Zainal bersyukur klinik gigi Toothsuite Dental miliknya di Bukit Jalil dapat beroperasi walaupun dalam kapasiti pesakit yang terhad.
Bagi mencari punca pendapatan baharu, Hafiz tekad melaburkan RM500,000 bagi membuka sebuah klinik pergigian bersama seorang rakannya.
“Jika nak bergantung dengan kerjaya sebagai seorang penyanyi sahaja memang terkesan, jadi saya buka klinik sebagai punca pendapatan.
“Saya dah pasang impian nak buka klinik sejak 10 tahun lalu. Ini masa terbaik untuk saya kejar semula impian itu.
“Saya buka klinik dengan kawan sekelas saya di universiti. Saya tak pernah buat bisnes jadi ini cabaran baharu bagi saya,” ujarnya.
Tak mahu berhutang
Dalam pada itu Hafiz berkata, dia tidak membuat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan itu sebaliknya menggunakan wang simpanan peribadi masing-masing.
“Alhamdulillah saya buka klinik tak gunakan apa-apa loan, saya tak nak berhutang banyak untuk perniagaan ni.
“Saya masih belajar dalam bisnes ini sebab tu saya takut nak buat pinjaman, Sekurang-kurangnya jika perniagaan tidak berjalan lancar saya tidak berhutang,” katanya.
Biarpun masih kekurangan pelanggan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Hafiz percaya ia bukan satu alasan untuk dia berputus asa.
Rancang strategi
Hafiz berkata, dia juga sudah merancang strategi sebagai usaha bagi menarik pelanggan ke klinik berkenaan.
“Saya, memang ada terfikir nak tunggu keadaan okay baru nak buka klinik tapi saya dah setkan strategi, kena usaha dulu dan tak nak berikan alasan.
“Sebenarnya saya risau juga buka klinik time PKP ini, ini adalah pelaburan yang sangat besar. Saya yakin insyaAllah akan survive bergantung kepada rezeki.
“Alhamdulillah masih dibenarkan beroperasi sebab termasuk dalam kategori essential service tapi dengan jumlah pelanggan yang terhad, ” katanya.