Dua nama yang cukup dikenali dalam industri hiburan tanah air – Datuk Seri Eizlan Yusof dan Datuk Hans Isaac. Mereka inilah yang pernah mewarnai industri menerusi filem dan drama yang hit suatu ketika dahulu.

Namun begitu, sejak akhir-akhir ini dikhabarkan salah seorang daripada mereka ingin mengambil tindakan guaman. Apa kes ini?

Tuduhan Tidak Berasas

Menurut Gempak, Eizlan telah meluahkan rasa kecewanya terhadap kenyataan yang dikeluarkan Hans yang didakwa berunsur fitnah dan mampu mencalarkan reputasinya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Eizlan, Hans dikatakan telah menuduh dirinya terlibat dalam penyalahgunaan kuasa sebuah syarikat produksi iaitu Excellent Pictures Sdn.Bhd.

Syarikat tersebut dikatakan tiada kaitan dengan dirinya sebagai pengarah mahupun selaku pemegang saham syarikat tersebut.

“Selaku Ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti, saya menzahirkan kekecewaan atas tuduhan melulu dan tidak berasas yang dilontarkan oleh Dato’ Hans Isaac, mantan Pengerusi FINAS.

“Beliau telah mencemarkan nama, imej dan reputasi saya kononnya ada penglibatan saya dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd.

“Untuk makluman, syarikat tersebut tiada sebarang kaitan dengan saya sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang sahamnya.

“Syarikat tersebut dikatakan ada menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak FINAS,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Melalui WhatsApp

Menurut Eizlan tuduhan tersebut dibuat pada 16 November 2020 oleh Hans melalui kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang mempunyai ahli melebihi 200 orang di dalam kumpulan tersebut.

“Ini juga memberi kesan secara langsung kepada karier dan perniagaan saya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku.

“Imej dan reputasi saya telah terkesan akibat dusta tersebut, khasnya saya selaku Ahli Perbadanan FINAS dan kredibiliti saya selaku penggiat industri kreatif yang telah berkecimpung selama lebih daripada 20 tahun serta dikenali masyarakat dan industri perfileman negara.

“Untuk makluman, saya telah melantik peguamcara saya, Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co dan tindakan guaman terhadap Hans Isaac sedang berjalan,” tambah beliau.

Harapnya tak berpanjanganlah kes ni. Semoga pekara ini dapat diselesaikan dengan cara professional oleh kedua-dua belah pihak!