Ulang tahun kelahiran ke-48 Datuk Yusry Abdul Halim cukup bermakna apabila isterinya, Datin Lisa Surihani selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 2.30 pagi.
Berita gembira itu dikongsi di laman Instagram milik Datuk Yusry.
Hadiah yang bermakna
Yusry yang juga merupakan seorang pelakon dan pengarah meluahkan rasa syukur atas hadiah hari lahir istimewa itu dan turut memberitahu isteri dan bayi lelaki mereka kini dalam keadaan yang baik.
“Alhamdulillah. Lisa telah selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 2.30 pagi tadi.
“Bayi dan ibu, kedua-duanya dalam keadaan baik. Syukur,” tulis Yusry.
Dalam hantaran itu juga, bekas anggota kumpulan muzik terkenal KRU itu turut menyifatkan kelahiran anak ketiganya sebagai hadiah hari jadi paling bermakna dalam hidupnya kerana berkongsi tarikh hari lahir yang sama (15 Jun).
“Hadiah hari jadi penuh bermakna. Selamat datang ke dunia junior (anaknya),” katanya.
Reaksi Positif
Perkongsian Yusry itu telah mendapat pelbagai reaksi daripada rakan artis dan netizen yang meluahkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah buat pasangan selebriti itu.
Mereka juga mendoakan agar segala urusan Yusry sekeluarga dipermudahkan.
Pada Februari lalu, Yusry mengumumkan isterinya yang juga seorang pelakon iaitu Lisa Surihani sedang hamil cahaya mata ketiga selepas menerima banyak pertanyaan netizen dan rakan media.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan dia dan isteri tidak berniat untuk merahsiakan berita gembira tersebut kerana beranggapan kehamilan ketiga itu tetap akan diketahui ramai tanpa perlu membuat pengumuman.
Untuk rekod, Lisa dan Yusry yang mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012 dikurniakan dua orang anak iaitu Yahaira Leanne, 6, Yusof Leonne, 4.