Siapa saja yang tak kenal dengan kumpulan rap sensasi K-Clique, yang menjadi kegilaan rata-rata remaja tempatan zaman kini.
Salah seorang ahli kumpulan itu, MK dikatakan telah dipilih sebagai duta untuk pusat tuisyen dan peningkatan akademik, PTTI Group Sdn Bhd.
‘Dirisik’ sejak Oktober
Menerusi laporan Gempak, MK berkata dia telah ‘dirisik’ oleh pusat tuisyen tersebut sejak Oktober yang lalu dan mengambil masa untuk memberi persetujuan.
“Sejujurnya saya mengambil masa memikirkan untuk menyatakan persetujuan sebagai duta pusat akademik berkenaan.
“Saya ‘dirisik’ pihak mereka sekitar Oktober tahun lalu. Ketika itu pun saya mula diundang pihak berkenaan sebagai panel jemputan bersama teman artis lain.
“Ketika itu fungsi dan peranan saya lebih kepada memberi semangat dan mendorong calon SPM 2020 yang berdepan pengalaman dan cabaran berbeza di era pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.
Rezeki tak pernah salah alamat
Tambah MK, dia yakin rezeki tidak salah alamat dan tanggungjawab yang dipikul sebagai duta itu hadir dengan satu amanah yang besar.
“Cuma dalam hati saya terdetik kenapa pihak PTTI berkenan menyunting saya sebagai duta. Saya percaya ada calon yang lebih baik berbanding diri sendiri.
“Namun rezeki itu tak pernah salah alamat. Jadi amanah yang digalas ini akan saya jaga sebaik mungkin.
“Mungkin juga saya ada pencapaian dan sedikit pengaruh yang boleh mendekatkan PTTI dengan generasi masa kini yakni pelajar SPM,” jelas MK.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Fana, MK dipilih sebagai duta oleh kerana aura, personaliti dan pengaruh yang dimilikinya.
Selain MK, pelakon Mira Filzah turut dipilih sebagai duta pusat tuisyen yang sama sebelum ini.
Wow, cayalah MK jadi duta! Ni yang buat student makin semangat nak belajar!