Susunan jadual yang padat sehingga hujung tahun membuatkan pelakon, pengacara serta penyanyi, Janna Nick atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner memuat naik sebuah video di laman instagramnya.

Video yang dimuat naik pada 11 April itu, memaparkan Janna sedang memandu sambil menangis, mengakui bahawa dirinya mengalami tekanan sekali gus menggangu emosinya sejak kebelakangan ini.

Terlalu Penat

Menerusi video berdurasi 3 minit 42 saat itu, Janna meluahkan bahawa dia sudah penat bekerja dan mahu hidup seperti orang biasa. Dia berkeinginan untuk berhenti kerja namun dia bertanggungjawab menyediakan keperluan untuk keluarganya.

“Saya tak suka dilihat sebagai seorang yang lemah. Saya tidak suka orang melihat saya sebagai seseorang yang tidak kuat.

Penyanyi lagu “Mungkin Saja” itu menegaskan bahawa dia suka bekerja dan tidak boleh duduk diam. Walaupun badannya penat namun otaknya masih mahu bekerja. Justeru, perkara itu secara tidak langsung memberikan tekanan kepada dirinya.

“Bukan hal tak bersyukur atau tak gembira. Saya sangat gembira, tapi otak saya tak berhenti berfikir. Saya benci otak saya. Saya sangat gembira dengan kehidupan, dengan keluarga, tapi otak saya tak berhenti berfikir. Saya hanya nak berehat,” ujarnya.

Hanya palsu

Di ruangan kapsyen, pengacara Melodi itu mengatakan bahawa ‘Janna Nick’ merupakan satu realiti palsu yang direkanya untuk menunjukkan bahawa seolah – olah dia gembira dan mempunyai kehidupan yang sempurna.

“Saya manusia biasa dan mahukan kehidupan normal. Saya tak suka bercakap dan   berjumpa orang. Dulu, apabila saya tak gembira, saya tidak jumpa alasan kenapa tidak boleh tak gembira.

“Sekarang, saya gembira tapi otak tidak membenarkan untuk saya berehat. Dari situ saya tahu saya ada masalah. Tapi jangan risau, saya akan selesaikan sendiri,” tambah pelakon yang popular menerusi drama ‘Syurga Nur’.

Respon

Hantaran itu sudah mececah lebih 1 juta tontonan dan mencecah lebih 5000 komen. Ruangan komen turut dihujani kata-kata semangat daripada rakan artis dan peminatnya supaya tidak berputus asa selain meminta Janna untuk berehat seketika.

Namun, tidak lari juga dari komen para netizen yang mengecam serta menggangap bahawa ianya sekadar drama dan menagih perhatian daripada umum.