Di Malaysia, ada sejenis kucing yang menjadi feveret orang ramai – kucing oren atau oyen. Tak kiralah baka apa pun, kalau kucing tu bulunya warna oren, automatik tergolong dalam persatuan kucing-kucing oyen seMalaysia. 

Boleh dikatakan hampir setiap orang pernah atau ada membela kucing oyen ni. Walaupun kucing oyen ni dikatakan terkenal dengan sifatnya yang nakal, selalu buat masalah dan huru-hara, tapi mukanya yang comel dan sifatnya yang manja tu lah yang membuat semua orang cair. 

Merajuk tak nak balik rumah

Seorang warga Twitter, @dyradyre, berkongsikan sebuah video yang menunjukkan gelagat kucingnya yang bernama Oren di laman Twitternya.

Di video tersebut, ayahnya sedang berusaha untuk memujuk Oren pulang semula ke rumah. Tapi Oren bukan setakat buat tak tahu je, siap boleh menjawab!

Tapi seekor kucing mana tak makan pujuk, akhirnya Oren pulang juga ke rumah.

Menyorok bila buat salah

Lagi telatah kucing oyen yang menambat hati netizen apabila seorang warga Twitter, @silindion_96, post sekeping gambar yang mendapat perhatian ramai. 

Dalam gambar tersebut, boleh dilihat satu bekas terbalik sehinggakan kura-kura belaan wanita itu juga terbalik. Yang menggeletek hati netizen apabila si pelaku iaitu jenis kucing oyen, buat tak tahu dan siap menyorok dekat penjuru! 

Geram je pemilik kucing oyen tu, ingat dia halimunan agaknya.

Main pasir!

Nampaknya nakal kucing oyen ni tak berhenti dekat situ je. Melalui perkongsian seorang lagi warga Twitter, @ara_fafa, menunjukkan kucing oyennya, Moshi seperti ingin membuat pantai di dalam rumah.

Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi, Moshi sepertinya telah mengoyakkan satu beg pasir dan bermain dengan pasir tersebut. 

Sudahlah beg pasir yang dibuka oleh Moshi tu pasir baru beli, memang nakal betul kucing oyen ni!

Nasib comel!

Lagi dan lagi telatah kucing oyen, seorang pengguna Twitter, @hatitfi, berkongsikan sebuah video yang membuat netizen geli hati. 

Video tersebut menunjukkan lelaki itu membebel kepada kucing oyennya kerana kencing di atas tilam. Tak pasal-pasal kena ambil half day sebab nak uruskan masalah yang dibuat oleh kucing oyen kesayangannya itu. 

Yang tak tahannya, waktu kucing oyen tu kena bebel, boleh pula buat muka comel dan tak bersalah. Siapa je yang tak cair, terus tak jadi nak marah lama-lama!

Bermacam-macam ragam kucing oyen ni! Rasanya tak ada satu hari pun yang bosan kalau dengan kucing oyen ni. Mesti ada je akalnya nak buat masalah. Nasiblah pemiliknya sayang!